PERTANDINGAN INOVASI KEARIFAN LOKAL 2025: ZON PERTAMA BERMULA DI KENINGAU

4 September 2025

Kota Kinabalu, – Sabah sekali lagi membuktikan keunikan dan kekayaan budayanya melalui penganjuran Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal 2025, sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (Sabah) [IDS], Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Sabah Credit Corporation (SCC). Pertandingan ini merupakan salah satu program Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) Negeri Sabah dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi.

Program ini bertujuan mencungkil, mendokumentasikan serta memperkasakan pengetahuan tradisional masyarakat Sabah – merangkumi makanan tradisi, perubatan herba, seni dan muzik, adat resam, falsafah hidup serta amalan keselamatan kampung. Usaha ini sekaligus mengiktiraf kearifan lokal sebagai aset pembangunan komuniti, identiti negeri dan sumber ekonomi baharu. Menurut Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul (Ketua Pegawai Eksekutif IDS), pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk melestarikan warisan, malah membuka ruang untuk adaptasi moden yang mampu menjana nilai komersial dan pelancongan.

Zon pertama pertandingan akan bermula di Keningau pada 6 September 2025, sekali gus membuka tirai siri jelajah inovasi kearifan lokal di Sabah. IDS Sabah menekankan bahawa penyertaan masih dibuka kepada individu, kumpulan dan komuniti yang berminat untuk mempamerkan daya cipta serta kearifan tradisi mereka. Selepas Keningau, pertandingan akan diteruskan di Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan Tuaran. Pemenang dari setiap zon akan melangkah ke peringkat akhir negeri di Universiti Malaysia Sabah pada 16 – 17 Oktober 2025.

Pertandingan ini menyumbang kepada matlamat Jelajah Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) Negeri Sabah sebagai manifestasi penghargaan terhadap daya cipta rakyat tempatan dan kesinambungan usaha memperkasa ilmu tradisional di era moden. Selain itu, Pertandingan STEMQuest Ignite iaitu sebuah pertandingan inovasi di kalangan pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah turut dijalankan seiring dengan Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal di setiap zon. Ini untuk memaksimakan kesedaran dan minat terhadap dunia inovasi di kalangan Masyarakat.

IDS Sabah mengajak masyarakat khususnya di Keningau dan kawasan sekitar untuk merebut peluang penyertaan, hadir menyaksikan pertandingan serta menyokong usaha bersama dalam memartabatkan kearifan lokal sebagai khazanah negeri dan sumber inspirasi pembangunan.

Untuk maklumat lanjut, sila berhubung melalui e-mel kepada Penyelaras Program, Puan Addellyne Christie di Addellyne.christie@ids.org.my atau telefon ke 088-450500.

Previous
Previous

PROGRAM KEUSAHAWANAN DAN SEMARAK SEMANGAT DANG INSUM 2025: Semarak Semangat Dang Insum 2025 Angkat Martabat dan Daya Usaha Wanita Sabah

Next
Next

Jelajah Sabah Tanah Airku – 'Warna Warni Komuniti, Satu Nadi Satu Suara'